CHARLES READE : TOWN PLANNING BRITISH MALAYA
Charles Compton Reade (C.C. Reade). PERANCANG BANDAR BERTAULIAH PERTAMA DI MALAYSIA.
Sejarah perancangan bandar di Malaysia secara formalnya telah bermula semenjak Februari 1921 dengan ketibaan C.C. Reade, seorang perancang bandar dari Australia Selatan. Menjelang Februari 2021 akan datang, usia profesion perancang bandar di Malaysia akan genap 100 tahun. Justeru, buku ini dipilih secara spesifik supaya perancang bandar di Malaysia lebih mengenali perihal beliau yang telah banyak mencorak konsep dan pendekatan perancangan bandar di negara ini.
Buku ini telah ditulis dengan terperinci oleh mantan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) PLANMalaysia (dahulunya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) dalam usaha beliau untuk merekod secara formal mengenai individu yang dikenali sebagai C.C. Reade. Buku ini merungkai dengan terperinci prinsip-prinsip perancangan serta sumbangan-sumbangan signifikan beliau dalam perancangan bandar di Malaysia termasuklah kritikan-kritikan yang diterima oleh beliau sepanjang menjadi perancang bandar di Tanah Melayu dalam tempoh 1921 – 1929.
Buku ini mengandungi 10 bab dan dimulai dengan pengenalan secara imbas lalu berkaitan C.C. Reade dalam bidang perancangan bandar sebelum kedatangan beliau ke Tanah Melayu dalam Bab 1. Bab ini mengetengahkan perihal beliau yang memperjuangkan prinsip perancangan yang mengutamakan ideologi kepentingan rakyat (public interest) berbanding asakan pembangunan oleh tuan tanah dan pemaju. Ini dapat dilihat melalui pelbagai artikel yang telah dihasilkan oleh beliau yang akhirnya dibukukan pada 1909 sebagai The Revelation of Britain. Buku tersebut secara jelas menyentuh pembasmian setinggan serta perumahan dan persekitaran yang lebih baik untuk golongan kelas pekerja. Walau bagaimanapun, ideologi tersebut tidak dapat diterima baik oleh pemilik tanah dan pemaju walaupun ianya berniat baik untuk kesejahteraan rakyat. Selain itu, beliau juga mendapati konsep perancangan bandar moden dilaksanakan di Port Sunlights melalui penerapan skim perumahan dan persekitaran yang lebih baik. Beliau juga mempunyai kesedaran bahawa hanya melalui perundangan, perancangan bandar yang holistik dapat dilaksanakan.
Setelah ketibaan beliau di Tanah Melayu pada 1921, beliau telah mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan perancangan bandar. Beliau mendapati dari sudut perundangan, terdapat persamaan ketara dengan perundangan perancangan bandar yang digunapakai di Australia iaitu melalui Sistem Torrent. Selain itu, beliau juga telah mengadakan General Survey ke atas bandar-bandar di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malaysia States) dalam usaha memahami keadaan semasa dan seterusnya mencadangkan perkara-perkara berikut:-
- Pengwujudan Perundangan Perancangan Bandar;
- Dasar dan Pentadbiran Perancangan Bandar yang tetap dan berterusan di peringkat Daerah dan Ibu Pejabat (Central);
- Penyediaan General Town Plans dan skim pembaikan untuk menambahbaik bandar/ bangunan/ pembangunan yang sedia ada atau yang baharu; dan
- Kawalan efektif ke atas pemberian tanah negeri, pelaksanaan pecah bahagi, kerja-kerja operasi bangunan dan kerja-kerja pembangunan bandar berdasarkan General Town Plans dan skim pembaikan yang akan disediakan.
C.C. Reade juga merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mewujudkan perundangan perancangan bandar di Tanah Melayu. Penyediaannya telah bermula sebaik sahaja ketibaan beliau di sini lantaran terlihat isu-isu percanggahan kuasa di peringkat Sanitary Boards dan Persekutuan. Tindakannya telah menyebabkan ketidak senangan banyak pihak yang berkait dengan perancangan dan pembangunan bandar. Pada tahun 1923, Town Planning Enactment 1923 telah diluluskan dan mula digunakan di sebalik sokongan dan juga bantahan daripada banyak pihak. Seterusnya, setelah pelaksanaannya secara penuh pada 1925, C.C. Reade telah menerima banyak aduan berhubung pelaksanaan Town Planning Enactment 1923 terutamanya kelewatan dalam memproses permohonan perancangan serta andaian bahawa berlaku pertindihan kuasa antara Residen dan Perancang Bandar.
Kritikan yang diterima ke atas Town Planning enactment 1923 pada sekitar 1925 itu yang dimuatkan dalam Review tidak mematahkan semangat beliau, sebaliknya C.C. Reade telah melaksanakan pindaan kepada Enakmen tersebut menjadikannya Town Planning Enactment 1927. Dalam masa yang sama, pada tahun 1926 beliau telah melaksanakan Pameran dan Syarahan Perancangan Bandar di Dewan Bandaraya Ipoh (Town Hall Ipoh). Pameran yang menonjolkan contoh-contoh dan situasi perancangan bandar di dalam dan luar negara tersebut, merupakan inisiatif beliau untuk menunjukkan progres positif terhadap perancangan bandar dan pembangunan dengan sokongan perundangan perancangan bandar untuk mendapatkan sokongan daripada pemilik dan pemaju tanah.
Buku ini juga telah mengupas sumbangan-sumbangan C.C. Reade termasuklah perancangan Garden City di Kuala Kubu Bharu. Selain itu, sumbangan beliau yang tidak banyak disentuh oleh kebanyakan pihak terutamanya perancangan bandar di Kuala Lumpur turut direkodkan dalam buku ini. C.C. Reade terlibat secara langsung dalam perancangan dan perancangan semula Kuala Lumpur melibatkan Kuarters Kerajaan di Jalan Imbi dan Jalan Cochrane, Kuarters Pekerja Stesen Keretapi di Sentul (termasuklah perancangan semula jaringan jalan raya dan rezab kerajaan), Institut Victoria, Dewan Perniagaan Cina dan akhir sekali Victory Avenue di Jalan Sultan Hishamuddin serta Dataran Merdeka. C.C. Reade juga sedari awal telah menetapkan Dataran Merdeka sebagai rezab awam untuk tujuan rekreasi dan akhirnya digunakan sebagai laluan perarakan dan sambutan hari kemerdekaan negara kita.
Satu lagi sumbangan besar C.C. Reade ialah pengwujudan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di Tanah Melayu (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu) pada ketika itu. Sejarah telah mencatatkan kehadiran beliau ke Tanah Melayu adalah ketika kemelesetan ekonomi pada sekitar 1920an. Justeru, di awal ketibaannya beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan profesional perancangan bandar untuk membantu beliau dalam melaksanakan tugasan di sini. Isu kekangan bajet disebabkan kemelesetan ekonomi merupakan halangan utama. Pekerja-pekerja yang ditempatkan di Jabatan merupakan pekerja pinjaman daripada Jabatan Kerja Raya dan Survei. Beliau menerima pelbagai rintangan dalam mendapatkan perancang bandar tetap di Jabatan dan akhirnya pada 1929, R.P Davies berserta 5 perancang bandar tetap yang lain tiba di sini untuk berkhidmat sebagai perancang bandar di Tanah Melayu.
Secara kesimpulannya, banyak yang boleh kita pelajari daripada C.C. Reade. Dalam salah satu bab, penulis ada menyebut bahawa C.C. Reade bukanlah seorang yang hanya melaungkan teori tetapi merupakan pelaksana kepada ideologi yang dibawanya sebagaimana guru beliau Ebenezer Howard. Di zaman penuh cabaran dan serba moden kini, sewajarnya perancang bandar di negara kita mengambil semangat beliau yang mengutamakan kepentingan awam berbanding kehendak pemaju dan pemilik tanah dengan pandangan bahawa “visionary ideas combined with appropriate architectural civic design skill and sound economic argument mattered most”. Beliau telah mengharungi banyak kritikan untuk mewujudkan Jabatan Perancangan Bandar di negara ini sehingga kepada cubaan untuk menutup dengan menidakkan kepentingan Jabatan ini. Beliau juga menghadapi kritikan tanpa henti ketika menyediakan perundangan perancangan bandar di negara ini. Sebagai generasi kini yang menikmati banyak kemudahan daripada usaha-usaha beliau, sewajarnya kita menyemak semula dan menghayati peranan dan kepentingan perancang bandar di negara ini. Jika seorang perancang bandar dari Australia boleh memikirkan untuk negara kita seratus tahun dahulu, apakah alasan kita rakyat Malaysia untuk menidakkannya hari ini?