TOWARD THE HEALTHY CITY: PEOPLE, PLACES, AND THE POLITICS OF URBAN PLANNING

no title has been provided for this book
Category:
Publisher:
Published: 2009
Page Count: 293
Reviewed by  : Azlin Binti Abd Hamid (Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, PALANMalaysia)

Buku Toward The Healthy City: People, Places, And The Politics Of Urban Planning secara keseluruhannya mempunyai 8 bab dimulai dengan cabaran dalam merancang sebuah bandar yang sihat. Bab pertama buku ini dimulakan dengan persoalan bagaimana profesion perancangan bandar yang muncul pada akhir abad ke 19 dengan matlamat untuk meningkatkan kesihatan penduduk bandar yang kurang baik pada masa itu, akhirnya telah kehilangan fokus menjelang abad ke 20. Apakah hubungan antara proses perancangan bandar kontemporari dan ekuiti kesihatan? Adakah sistem politik semasa dapat membantu menangani permasalahan ini dengan menghubungkait proses perancangan bandar dan kesihatan awam dalam menangani ketidakseimbangan sosial dan kesihatan di bandar? Bab ini menjawab soalan-soalan ini dengan menfokuskan bagaimana profesional kesihatan, perancang bandar dan komuniti setempat perlu bekerjasama dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan awam di bandar. Buku Toward the Healthy City mendefinisikan perancangan bandar yang sihat perlu dilihat sebagai Healthy urban governance, di mana kedua-dua aspek penting ini menyumbang kepada kesejahteraan manusia – kualiti fizikal dan sosial sebagai pemangkin kesihatan bandar.

 

Bab 2 mengulas secara kritikal mengenai amalan perancangan dan kesihatan awam di Amerika daripada akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-21. Bab 3 kemudian membahas bagaimana proses perancangan bandar gagal menangani isu sosial kesihatan dan menyumbang kepada berlakunya peningkatan masalah kesihatan di bandar-bandar. Bab 4 secara khusus mempertimbangkan isu alternatif yang merangkumi pertimbangan kesihatan penduduk, pandangan yang berkaitan dengan persekitaran, proses tadbir urus dan peringkat pembuat keputusan. Penulis menerapkan kerangka konsep perancangan bandar yang sihat dalam analisis terhadap tiga kajian kes (2004-2008) di San Francisco: Penyusunan semula amalan kesihatan persekitaran, pembangunan bandar yang sihat, dan menggunapakai penilaian kesan kesihatan untuk bandar dan perancangan wilayah. Kes-kes ini telah diterangkan dengan terperinci dalam Bab 5 hingga 7, di mana ia dengan jelas menggambarkan bagaimana proses perancangan perlu kembali kepada titik asal dengan menerapkan isu kesihatan dan sosial dalam setiap aspek pembangunan di bandar.

 

Buku ini diakhiri dengan Bab 8 yang merumuskan bahawa perancang bandar, profesional kesihatan dan anggota masyarakat perlu bekerjasama dalam memelihara kesihatan persekitaran dengan menerapkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan. Sebagai contoh, Aktivis di Bayview – Hunters Point, SoMa, dan West Oakland telah membuat tuntutan baharu kepada pihak kerajaan agar memfokuskan pada langkah-langkah kawalan dan pencegahan dengan melibatkan persekitaran fizikal, sosial dan ekonomi.

 

Sebagai kesimpulan, buku ini bukan sahaja boleh menjadi rujukan kepada profesion perancang bandar, profesional kesihatan dan anggota masyarakat di Amerika syarikat, tetapi juga boleh dijadikan panduan kepada pembangunan bandar di seluruh dunia. Buku ini turut menegaskan bahawa sebarang perubahan fizikal terhadap sesuatu kawasan atau bandar perlu mengambil kira pelbagai aspek terutama sosial, ekonomi, politik dan pentadbiran di pelbagai lapisan bagi memastikan pembangunan bandar yang lebih sihat dan seimbang untuk kesejahteraan penduduk.